PENGENALAN DEWAN NEGERI

RINGKASAN SEJARAH DEWAN NEGERI

Mengikut Perjanjian Negeri Perak pada tahun 1948, iaitu sebelum berkuatkuasanya Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak dikenali sebagai "MAJLIS MESYUARAT NEGERI PERAK". Kerajaan Negeri Perak pada masa itu di perintah oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Yussuf Izzuddin Shah (Marhum Ghafarullah) (1948-1963). Menteri Besar pada ketika itu adalah Allahyarham Dato' Haji Abdul Wahab b. Toh Muda Abdul Aziz (Orang Kaya-Kaya Panglima Bukit Gantang Seri Amar DiRaja)(1 Februari 1948 - 31 Julai 1957). Menteri Besar yang berikutnya adalah Allahyarham Tan Sri Dato' Haji Mohamad Ghazali bin Jawi., PMN. (1 Ogos1957 - 15 April 1960) Pilihanraya yang pertama telah diadakan pada 27 Mei 1959 dan sebanyak 42 kerusi telah dipertandingkan. Selepas Pilihanraya tersebut, Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Yang Pertama ditubuhkan.

 

GAMBAR DAN SEJARAH BANGUNAN DEWAN NEGERI

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak telah di tubuhkan pada 1948 melalui perjanjian Perak diantara Sultan Abdul Aziz Al-Mutasim Billah Shah dengan Sir Gerard Edward J Gent pada 21 Januari 1948. Perlembagaan ini menggariskan hak-hak Sultan serta peruntukkan satu pentadbiran kerajaan dan majlis mesyuarat kerajaan dan majlis mesyuarat negeri untuk membantu dan menasihati sultan dalam perlaksanaan tugasnya. Perlembagaan ini juga memperuntukkan perlantikan Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri dan juga pegawai ahli-ahli ex officio yang lain iaitu Penasihat British dan penasihat undang-undang. Adalah merupakan ahli majlis mesyuarat kerajaan dengan mempunyai seorang ahli rasmi. 

Majlis mesyuarat negeri terdiri daripada Menteri Besar sebagai Presiden dan 4 orang orang ahli ex officio iaitu Penasihat British, Setiausaha Kerajaan Negeri dan 10 orang ahli rasmi beserta 19 orang ahli tidak rasmi. 

Fungsi Pejabat Setiausaha Kerajaan Perak ialah merancang, mengerak, mengurus dan menyelaras serta mengawal semua jentera pembangunan ekonomi dan sosial. Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak juga menentukan dan melaraskan dasar-dasar meliputi perancangan dan pembangunan, keselamatan, aktiviti-aktiviti jabatan dan kuasa-kuasa tempatan negeri perkhidmatan kakitangan dan hal ehwal negeri. 


  

Bangunan lama Pejabat Setiausaha Kerajaan 

Bangunan lama Pejabat Setiausaha Kerajaan telah didirikan pada tahun 1909 dan direka oleh seorang jurubina tempatan iaitu M.C Ha La Brooy. Dewan Negeri yang pertama terletak di dalam bangunan ini. 

Pentadbiran Kerajaan Negeri Perak telah berpindah ke dari bangunan lama ke kompleks ibupejabat Kerajaan Negeri Perak yang diberi nama Bangunan Seri Perak Darul Ridzuan pada awal tahun 1970. 

Bangunan ini telah dirasmikan oleh Almarhum Sultan Idris A'fifullah Shah Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah Kaddasallah,Sultan Perak yang ke-33 pada 2 September 1970. Segala urusan Dewan Negeri yang lama telah dipindahkan di dewan ini. 


Bangunan Perak Darul Ridzuan 

Bangunan ini merupakan bangunan yang ketiga dibina dan ianya telah dirasmikan pada Selasa 9 Mei 2000 bersamaan 5 Safar 1421 Hijrah oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzudin Shah Ghafarullahu-lah. 

 

SEJARAH COKMAR


Kerajaan Negeri Perak mendapati bahawa cokmar bagi Dewan Negeri perhimpunan Negeri Perak perlu diadakan sebagai lambang kebesaran, kedaulatan dan keagungan kerajaan beraja yang memerintah Negeri Perak. 

Memandangkan cokmar perlu diwujudkan, maka Menteri Besar Perak Darul Ridzuan telah mengarahkan Speaker Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan menubuhkan satu jawatankuasa bagi tujuan mewujudkan cokmar ini.

Jawatankuasa perekaan cokmar Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan adalah bertanggungjawab untuk menetapkan rekabentuk cokmar dan menentukan ciri-ciri yang sesuai untuk diukir pada cokmar itu dengan membawa pengertian yang tertentu. 

Cokmar Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak diadakan atas titah perintah Al Marhum Baginda Sultan Idris 'Afifullah Shah Ibni Al Marhum Sultan Iskandar Shah Kadasallah. Al Marhum sendiri telah mengambil inisiatif untuk memulakan penempahan cokmar ini. Semasa Al Marhum berada di sana pada bulan Januari 1984 lalu. Kemudiannya usaha penempahan ini di teruskan pula oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak. 

Cokmar ini telah ditempah di Garrard Co. Ltd London pada bulan Januari 1994.

Cokmar ini telah siap dan di gunakan pada mesyuarat pertama, penggal ketiga, Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan yang keenam mulai 5hb November 1994. Keseluruhan perbelanjaan mengadakan cokmar ini adalah berjumlah RM 56,738,50. 

Cokmar Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak yang panjangnya lebih kurang 129 cm adalah diperbuat daripada perak. Cokmar ini adalah dalam bentuk belantan dan di bahagikan kepada lima (5) bahagian yang melambangkan lima Rukun Islam dan juga lima Rukun Negara. 

Di bahagian kepala cokmar, diukirkan lambang Pedang Cura Si Manja Kini yang menjadi pedang Kerajaan Negeri Perak. Ini diikuti dengan bahagian pertamacokmar yang di ukir dengan lambang - lambang Diraja Negeri Perak yangmenunjukkan bahawa Negeri Perak Darul Ridzuan adalah sebuah kerajaan yang diperintah oleh seorang kerajaan yang berdaulat. Di sebelah atas bahagian pertama cokmar terdapat perkataan-perkataan "Allah" dan "Muhammad" yang melambang bahawa agama rasmi Negeri Perak Darul Ridzuan adalah agama Islam. Di sebelah bawah bahagian pertama cokmar, terukir sepotong ayat suciAl-Quran yang membawa maksud "dunia ini di warisi oleh orang-orang yang soleh". Ayat ini adalah sebagai cogankata yang sesuai untuk kemajuan masyarakat dan rakyat Negeri Perak Darul Ridzuan sejajar dengan dasar kerajaan yang mengamalkan sikap "bersih, cekap dan amanah". 

Bahagian kedua cokmar di ukir dengan lapan gelang yang berbunga durian sebagai lambang Orang Besar Empat dan Orang Besar Lapan dalam Negeri Perak. Orang-orang besar ini melambangkan sistem kerajaan beraja yang teratur dan sempurna. Selain daripada itu bunga durian ini juga membawa pengertian bahawa Negeri Perak juga terkenal dengan buah durian. 

Bahagian ketiga cokmar diukir dengan empat puluh enam kawasan yang melambangkan empat puluh enam kawasan pilihanraya Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak yang telah di gazetkan.Ini juga melambangkan bahawaDewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak ini mempunyai seramai empat puluhenam orang ahli dewan undangan negeri yang dipilih oleh rakyat. Jumlah sebanyak empat puluh enam ini adalah jumlah Ahli-Ahli Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak pada masa hadapan. 

Bahagian keempat cokmar di ukir dengan hasil pengeluaran utama Negeri Perakiaitu bijih timah, getah, padi, kelapa, koko dan durian. Bahagian ini juga diukir dengan bunga padi yang melambangkan bahawa beras adalah makanan utama rakyat negeri ini. 

Bahagian terakhir cokmar di ukir dengan corak kebudayaan yang terdapat dalam Negeri Perak seperti tarian-tarian inang, lenggok, lilin, permainan alat-alat muzik tradisional yang lain. 

 

JUBAH SPEAKER, JUBAH SETIAUSAHA DAN PAKAIAN BENTARA 

Baju jubah speaker, setiausaha dan bentara telah diadakan selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk membuat pembaharuan dalam Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan. 

Jawatankuasa Perekaan Cokmar selain daripada menentukan rekacorak cokmar, telah pun di pertanggungjawabkan untuk merekabentuk corak bagi baju jubah speaker, setiausaha dan pakaian Bentara. Jawatankuasa berkenaan telah menetapkan agar corak bunga durian di dalam baju jubah songkok speaker dan pakaian bentara manakala baju jubah / songkok setiausaha di sulam dengan rekacorak bunga padi. 

Tujuan mengadakan rekacorak sulaman bunga durian dan padi ialah kerana Negeri Perak adalah salah sebuah negeri di Malaysia yang terkenal dengan durianmanakala bunga padi pula memberi pengertian bahawa beras makanan utama negeri ini. 

Kerajaan Negeri Perak telah meminta kerjasama kajian seni lukis dan senireka Institut Teknologi Mara Shah Alam Selangor Darul Ehsan untuk meyediakan beberapa corak bunga durian dan bunga padi yang sesuai sebelum di buat sulaman. setelah rekabentuk tersebut dipersetujui sulaman tekat timbul benang emas dengan mengunakan mesin telah dijalankan oleh seorang tukang jahit sulam yang terkenal iaitu Encik Mohd Hussain Yaacob,Taiping. Memandangkan bahawa tekat timbul tidak sesuai untuk di sulam pada bengkong, samping dan  tengkolok Bentara, maka Kerajaan Negeri Perak telah membuat tempahan  kepada Hajjah Cik Minah, batik & songket, Kota Bahru, Kelantan untuk membuat tenunan songket bagi bengkong, samping tengkolok Bentara itu.Warna yang telah dipersetujui untuk baju jubah speaker iaitu biru tua manakala warna untuk baju jubah setiausaha dan pakaian jubah setiausaha dan pakaian bentara ialah hitam. Sebuah syarikat yang terkemuka di Kuala Lumpur iaitu Syarikat Gian Singh yang mempunyai kepakaran di bidang jahitan telahpun menjalankan kerja-kerja menjahit baju jubah speaker, setiausaha, dan pakaian Bentara.